Sunday, July 6, 2008

Cukuplah Allah bagiku...jangan bersedih lagi...

Suatu hari, seorang arab Badwi datang bertemu dengan Rasulullah s.a.w katanya, "Wahai Rasulullah, adakah Tuhan itu dekat sehingga kami dapat bermunajat kepadaNya? Atau Tuhan itu jauh sehingga kami perlu menyeru kepadaNya?" Rasul terdiam hingga turunlah jawapan terus dari Allah swt berkenaan pertanyaan Badwi tadi…

Dan apabila hamba-hamba- Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah ayat 186)

Berpergang teguhlah dengan janji Allah ini, kerana tiada yang paling setia dengan janjinya melainkan Allah semata-mata. Allah memberikan baik dan buruk sesuatu perkara hanya atas tiga perkara:

1) Kerana Dia mahu mengingatkan kita kepadaNya.

2) Kerana Dia mahu mengampunkan dosa kita.

3) Kerana Dia mahu mengangkat martabat kita di sisiNya.

Tetapi, asal ketiga-tiga yang di atas itu adalah kerana Dia Maha Menyayangi kita sehinggakan bila kita terlupa atau sengaja lupakan Dia, tidak diazabnya kita terus serta merta. Bahkan Dia berikan sedikit cubaan, supaya kita ingat kembali padaNya. Supaya kita rasakan kembali kasihNya yang melimpah-limpah, supaya kita lembut hati untuk berkasih padaNya, dan supaya kita kembali ke pangkuanNya.

Hanya Dia sahaja tempat pergantungan kita. Selama mana kita bergelar hamba kepadaNya, selagi itulah kita bergantung seratus peratus kepadaNya. Dia menjanjikan kebahagiaan dengan segala ketenangan, ketenteraman, kekuatan, kebenaran, kemuliaan dan kesucian diri apabila manusia mendekatiNya. Dia Maha Menyayangi hamba-hambaNya, walau pun jelas keingkaran hambaNya. Dia tidak pernah memungkiri janji-janjiNya. Dia menawarkan kasihNya di mana sahaja kita perlukan. Dia menawarkan kasihNya bila saja kita dambakan. Dan Dia menawarkan kasihNya atas apa sebab sekali pun kita pohonkan.

Oleh itu, Kenapa perlu berputus harap padaNya. Sedangkan Dia tidak pernah memandang kita dengan pandangan kebencian? Kenapa perlu merintih pada ketentuanNya sekira Dia menawarkan kebahagiaan yang sangat besar di hujung perjalanan? Kenapa perlu ragu-ragu padaNya yang tidak pernah memungkiri janjiNya kepada kita? Tanda kasihNya sentiasa ada di dalam hati kita. Rujuklah kembali kepada ayat-ayat kasihNya yang diturunkan kepada kita, nescaya di sana ada janji setiaNya untuk kita…

Katakanlah: "Hai hamba-hamba- Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah az-Zumar ayat 53)

Ujian yang datang dariNya, terimalah dengan hati yang tenang. Berpautlah pada tali cintaNya dengan sekuat-kuat pautan, nescaya kita tidak akan terhempas dipukul badai dunia. Pandanglah sesuatu ujian itu dengan pandangan Allah. Letaklah Allah di hadapan kita dalam melalui sesuatu musibah, nescaya Allah meletakkan kita di hadapanNya, nescaya Allah memandang kita selamanya dengan pandangan kasihNya, nescaya Allah sejukkan hati dan jiwa kita dengan hidayahNya, dan diterangi jalan hidup kita dunia dan akhirat dengan Nur kekuatanNya.

Tidak ada gunanya kita mengadu dan bersedih hati, bila kita diuji Allah. Kerana orang-orang yang beriman hanya bersedih bila Allah tidak memandangnya lagi, selagi ada pandangan Allah pada kita, maka syukurilah dengan ujian itu. Tanda Dia amat mengambil berat akan hal kehidupan kita. Tidak bermakna hilang kasih manusia itu, hilang selamanya. Mungkin ada kasih yang lebih hebat menanti di hari muka, yang kita tidak pernah bayangkan di mata dan tidak pula pernah kita kecapinya di hati.

Sebaliknya, dekatilah Allah sedekat-dekatnya. Kasihilah Allah sedalam-dalamnya. BERBUALLAH DENGAN ALLAH selalu. Bermunajatlah kepadaNya selalu. Mengadulah masalah kita padaNya selalu. Mintalah kasihNya selalu. Nescaya Dia akan sentiasa dekat pada kita. Dia akan sentiasa kasih pada kita. Dia akan selalu berbual dengan kita. Dia akan selalu mendengar munajat kita. Dia akan selalu berkongsi masalah kita. Dan yang paling penting, Dia akan sentiasa meletakkan kita sebagai hambaNya yang mulia di sisiNya.

Apalah harga dunia jika ditimbangkan dengan setitik kasih sayang Allah. Hilang nikmat dunia bila datang setitis rahmat Allah. Lebur seluruh dunia, tenggelam dalam cinta Allah. Bila manusia sudah benar-benar teguh bersama Allah, perjalanannya sentiasa tenang dan damai, hatinya sentiasa terpaut pada Allah. Kasihilah Allah sepenuh hatimu, tumpahkanlah cintamu kepadaNya seikhlas mungkin, dekatilah Allah sedekat mungkin dan cintailah Allah sehalus mungkin. Nescaya hadir nanti insan yang mendekatimu kerana kelimpahan kasihmu pada Allah, kerana keikhlasan cintamu pada Allah, kerana dekatnya dirimu dengan Allah.. ketika itu dirimu akan menjadi perantara tumpahnya kasih Allah padanya...

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang. (Surah Maryam ayat 19)

2 comments:

gee said...

cukuplah Allah bg saya... sobsobsob... terima kasih utk post yg amat indah ini...

akmalini ramli said...

hanya Allah sebaik-baik penolong setiap hamba-hambaNya..