Sunday, June 8, 2008

Kehebatan Iman Generasi Terdahulu

Kehebatan Iman Generasi Terdahulu - Berusahalah Kita Untuk Mengusainya

Sejak akhir-akhir ini saya telah berada bersama sahabat-sahabat. Sepanjang bersama mereka, macam-macam perkara yang dapat saya lihat. Ada yang ceria, gembira, dan tak kurang juga yang sedang bersedih hati. Melihat sahabat yang disayangi berada di dalam kesedihan, hati ini begitu ingin sekali untuk menyelami fikiran dan perasaannya. Kalau boleh biarlah kita juga merasai kesedihannya. Apakah puncanya kesedihan seorang insan itu? Walau apapun punca, pokoknya ia tetap berbalik kepada satu perkara iaitu sedang mengalami proses pentarbiyahan oleh Allah s.w.t. Seperti yang terdapat di dalam lirik lagu Kehidupan - Inteam feat Nazrey Johani ;
"Ujian adalah tarbiyah dari Allah, apakah kita kan sabar ataupun sebaliknya..."
Bila sebut tentang tarbiyah, sudah pasti ianya berkaitan dengan ujian. Apabila sahabat kita berhadapan dengan ujian, dengan mudahnya kita boleh menasihatinya, "La Tahzan. Allah bersama-sama dengan kamu". Dan ada juga mengatakan "Enti kene kuat. jangan diikutkan sangat masalah hati ni. Kalau dilayan sangat masalah ini, sampai bila2 pun kita tidak akan memikirkan masalah ummah" serta bermacam-macam lagi jenis kata-kata nasihat. Benar, ada yang lebih penting kita perlu fikirkan lebih-lebih lagi bila kita meletakkan diri kita sebagai da'e. Di sini, ingin sekali saya tekankan sejauh manakah ujian yang kita hadapi berbanding dengan ujian yang ditempuhi oleh generasi terdahulu? Astaghfirullahal'azim, jika kita ikutkan kata hati untuk melayan perasaan adalah lebih baik kita sama-sama muhasabah diri kita sambil mengenang semula sirah perjuangan mujahidin terdahulu. Terlalu jauh bezanya jika nak dibandingkan. Jadi, di sini saya paparkan sedikit kisah-kisah perjuangan dahulu. Semoga ianya mampu menyedarkan diri kita serta mempertingkatkan lagi semangat kita dalam berjuang fisabilillah.. InsyaAllah


Nabi Muhammad s.a.w
Baginda Nabi S.A.W memulakan dakwahnya di Mekah, kaum musyrikin Quraisy membalas usaha dakwah itu dengan pelbagai tindakan yang kasar dan ganas, termasuklah mencipta pelbagai bentuk azab bagi menyiksa orang-orang beriman. Namun, segala usaha mereka tidak berhasil kerana mereka bukan berhadapan dengan manusia biasa yang memiliki jati diri keimanan yang teguh, yang lebih rela nyawa mereka melayang daripada iman mereka diruntuhkan. Para sahabat mampu bertahan menghadapi segala cabaran kerana mereka memiliki iman dan keyakinan yang kental.

Bilal bin Rabah
Siapa yang tidak kenal Bilal bin Rabah r.a., yang sanggup bersabung nyawa menanggung azab sengsara ketika beliau ditindih dengan bongkah batu raksasa di atas ramda yang merah menyala dan di bawah terik sinaran matahari yang panas membara. Bilal tidak berhenti daripada menyebut kalimah yang membakar kemarahan para penyiksanya iaitu dengan kalimah berikut:
“Ahadun Ahad”, Ahadun Ahad”.
Alangkah mudahnya bagi Bilal, jika beliau ingin menyelamatkan diri daripada siksaan itu, beliau hanya perlu berpura-pura menjadi kafir sementara. Tetapi beliau tidak tergamak melakukannya, kenapa? Kerana beliau merasa amat rugi jika melepaskan kemanisan iman yang sedang beliau kecapi.
Mana mungkin orang yang sedang menikmati kelazatan iman akan melepaskan kelazatannya. Dan mana mungkin orang yang pernah merasai kepahitan kekufuran akan kembali merasainya.

Keluarga Yasir
Demikianlah juga Yasir, Sumayyah radhiallahu ‘anhum dan Ammar, satu keluarga yang telah menjual nyawa mereka untuk membeli iman sehingga gugurlah Sumayyah sebagai wanita pertama syahid.

Khubaib bin Adiyy
Demikianlah pula kisah Khubaib bin Adiyy r.a. yang telah ditawan oleh golongan musyrikin ketika beliau hendak berhijrah, lalu beliau dibawa balik semula ke Mekah. Khubaib meletakkan syarat ke atas dirinya untuk mati dalam iman dan dengan syarat itu beliau tidak peduli lagi bila, di mana, dan bagaimana beliau akan dikorbankan. Ketika sedang menunggu kematian sebagai hukuman daripada kaum musyrikin, beliau mengatakan dengan tegas:
“Aku tidak peduli jika aku mati, asalkan kematianku sebagai muslim yang berjuang pada jalan Ilahi. Kerana yang demikian itu, jika Dia kehendaki, nescaya ketulan dagingku yang bersepah akan diberkati.” (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 2880)

Abu Salamah r.a
Juga Abu Salamah r.a. yang tidak membatalkan hasratnya untuk berhijrah meskipun isterinya dirampas dari tangannya dan meskipun tangan anaknya direntap putus dihadapannya. (Ibn Hisyam, as-Sirah an-Naabwiyyah, 2: 469).

Suhaib ar-Rumi r.a
Tak lupa juga Suhaib ar-Rumi r.a. yang menawarkan seluruh hartanya kepada kaum musyrikin semata-mata kerana ingin menyertai Nabi S..A.W. berhijrah ke Madinah. (Ibn Hisyam, as-Sirah an-Nabawiyyah, 2: 477).


Subhanallah, betapa hebatnya iman apabila telah menembusi hijab hati manusia, tiada apa lagi yang boleh menukar gantinya. Mereka diberi tawaran samaada memilih nyawa tanpa iman atau memilih iman tanpa nyawa, lalu mereka memilih iman tanpa mempedulikan nyawa mereka. Sabda Rasulullah S.A.W (maksudnya):

“Ada seorang lelaki dari kalangan umat sebelum kamu telah digali lubang untuknya, kemudian dia ditanam di dalamnya, lalu digergaji kepalanya sehingga terbelah dua, namun yang demikian itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya. Ada pula yang disikat dengan penyikat besi sehingga pecah tulang dan urat sarafnya, tetapi semua itu tetap tidak mengubah pendirian agamanya.” (Sahih al-Bukhari, Hadis no.: 3416 & 6544)

Oleh itu, setiap muslim mestilah yakin dengan pegangan agamanya sebagaimana juga generasi umat Islam yang terawal meyakininya. Dengan keyakinan yang mantap itu, dia pasti akan dapat meneguhkan jati dirinya untuk menghadapi sebarang bentuk ancaman dan dugaan.
oleh : kHaLiLah AsyRaN

No comments: