Masa adalah Harta Paling Berharga Yang Anda Miliki
Jika kita ditanya apakah harta yang paling bernilai yang kita miliki, pasti kita akan menjawab beberapa jawapan seperti wang, anak keturunan, perniagaan, kecantikan, kepandaian mahupun kesihatan. Kita boleh sahaja menjawabnya akan tetapi jauh di hati kita ia bukanlah yang termahal dan tertinggi nilainya. Kesemuanya tidak sama nilai dengan nilai masa kita. Jadi benarlah masa adalah sesuatu yang paling bernilai bagi kita umat Muhammad setelah Islam.
Bersediakah kita untuk memahami betapa pentingnya masa untuk kita khususnya kaum Muslimin? Kerana umat yang dalam kemerosotan dan penindasan seperti kita ini tidak tegar memelihara masa meskipun keadaan mereka adalah umpama telur di hujung tanduk dan hanya retak menanti belah. Semestinya kita mengetahui bahawa masa adalah anugerah adil yang dikurniakan Allah swt kepada makhluknya. Sesiapa yang bersyukur yakni dengan menggunakan sesungguhnya maka Allah akan tambahkan nikmatNya, tapi barangsiapa engkar maka azab Allah amatlah pedih.
Jadilah Umat Terbaik
Tatkala kita membaca al-Quran, kita akan dapati bahawa Allah sering bersumpah dengan masa. Dan Tuhan sememangnya tidak akan bersumpah melainkan sesuatu itu penting dan mempunyai nilai berharga. Allah swt berfirman;
Demi malam apabila menutupi (cahaya siang) dan siang apabila terang benderang.”
(al-Lail:1-2)
Demi waktu Dhuha dan demi malam apabila telah sunyi.” (adh-Dhuha:1-2)
Demi fajar dan malam yang sepuluh.” (al-Fajr:1-2)
Demi matahari dan cahayanya di pagi hari dan bulan apabila mengirinya.” (asy-Syams:1-2)
Demi masa.” (al-Ashr:1)
Maka sesungguhnya Aku bersumpah dengan cahaya merah di waktu senja.” (al-Insyiqaq:16)
Apakah yang menarik disebalik masa-masa ini hinggakan Allah bersumpah dengannya. Berbalik kepada tujuan al-Quran diturunkan, maka Allah menginginkan kita supaya memerhatikan perkara-perkara ini agar mendapat pengajaran. Begitu banyak sumpahNya berkaitan dengan waktu.
Maka umat yang tidak mengenal harga nilai masa tidak akan menjadi umat yang maju dan berjaya. Ketika kita membaca,”Kamu adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia,” hati kita pasti terkesan dengan sebutan umat terbaik akan tetapi keadaannya sungguh sangat menyedihkan.
Pada asasnya, sesuatu umat akan menjadi terbaik dan berjaya hanya jika mampu memanfaatkan kurnia Allah sebaik-baiknya dan tidak menyalahgunakannya. Maka apatah lagi bagi kita umat Islam. Dapatkah kita memahami betapa pentingnya masa yang sering kita sia-siakan?
Islam Sangat Menghargai Masa
Tahukah kita agama kita ini sangat menitikberatkan masa. Renungkanlah hadith al-Musthafa saw tentang amal yang disukai Allah. “Wahai Rasulullah, apakah perbuatan yang paling disukai Allah? Baginda menjawab,” Solat tepat pada waktunya.” (HR Muslim). Kemudian perhatikanlah pula ayat berikut;
Sesungguhnya solat itu adalah fardhu yang ditentukan waktunya atas orang-orang beriman.” (an-Nisa:103)
Lihatlah pula puasa, haji, zakat dan lain-lain lagi. Kesemuanya mempunyai masa dan had yang telah ditentukan.
Hai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertakwa. (yaitu) dalam beberapa hari yang tertentu.(al-Baqarah: 183-184)
(Musim) haji adalah beberapa bulan yang dimaklumi.” (al-Baqarah:197)
Mereka Memahaminya.
Penemuan pertama kaum Muslimin awal masa keemasannya adalah jam. Pada waktu itu mereka mengembangkan dan meletakkannya ditempat umum dan diruang-ruang istana. Mereka begitu membanggakannya. Mengapa? Sungguh mereka berjaya kerana memerhatikan masa. Sungguh agung umat ini.
Namun kini kita tidak begitu. Seorang yang taat beragama sepatutnya menghargai waktu dalam kehidupannya. Apatah lagi duah yang mengajak manusia ke arah perjuangan Islam. Kisah berikut merupakan kisah benar yang berlaku kepada seorang tokoh Muslim yang berjumpa dengan warga asing. Muslim itu terlambat beberapa minit.
“Anda muslim?” tanya warga asing tersebut.
“Ya.”
“Anda solat?” tanyanya lagi.
“Ya.”
“Berpuasa pada bulan Ramadhan?”
“Ya.”
“Anda sudah menunaikan haji?”
“Ya, tentu.”
“Anda solat Jumaat tepat waktu?
“Sudah tentu.”
“Sungguh aneh orang-orang Islam. Agama mereka mengajarkan prinsip-prinsip agung, sayang mereka tidak mengendahkannya.”
Kisah ini menggoncang jiwa kita jika kita memahaminya. Seolah-olah mereka menyindir kita, anda agungkan agama tetapi sebenarnya anda bukanlah pemeluk agama yang taat kerana tidak menghargai ajaran agama.
Bagaimana dengan kita? Sudahkah kita bersedia menghargai masa kita, wahai umat Islam?
Ke Mana Masa Muda Kita?
Renungkanlah hadith Rasulullah saw! “Pada hari kiamat tidak seorangpun hamba diperkenankan meninggalkan posisinya kecuali ditanya lima perkara. Tentang penggunaan umurnya, masa mudanya, kekayaannya dari mana dia peroleh dan untuk apa digunakan dan apa yang dilakukan terhadap ilmunya.” (HR Tirmidzi :2416)
Masa muda mendapat tempat khusus dalam hadith diatas. Meskipun umur sudah disebutkan, namun masa muda dikhususkan sekali lagi. Tentunya ada beberapa sebab. Pertama, masa tersebut begitu penting. Kedua, begitu banyak orang membazirkan masa tersebut. Maka masa muda disebutkan secara khusus.
Maka para pemuda, kemanakah masa kita dihabiskan? Apakah dengan menonton televisyen berjam-jam, atau melayari internet berkurun-kurun? Atau berpeleseran di jalanan dan mengganggu orang-orang dijalanan? Atau membaca buku-buku tidak berfaedah, kartun, komik, atau filem yang tidak pernah habis?
Andainya setiap nafas kita dikumpulkan ke dalam setiap kotak. Maka di hari perhitungan dibuka semua kotak nafas kita itu satu persatu. Kotak pertama kosong. Kotak kedua kosong. Kotak ketiga berisi percakapan yang sia-sia. Kotak keempat berisi fitnah, umpat dan caci maki. Maka manakah amal yang boleh kita banggakan di depan Allah swt?!
Akan tetapi lain hal jika kotak yang pertama berisi bacaan al-Quran. Kotak kedua hafazan kitab Allah dan hadith. Kotak ketiga syarahan menyedarkan manusia. Kotak keempat amal perjuangan Islam yang ikhlas. Kotak keempat pula berisi nafas keletihan berjuang di jalan Allah. Maka inilah yang boleh kita banggakan didepan Allah swt.
Membazir Masa adalah Maksiat.
Tidakkah kita sedari pembaziran waktu adalah maksiat yang besar. Pembazir ini saudaranya syaitan dan mengikuti jejak langkahnya. Mereka yang menghabiskan masa berjam-jam duduk di café bersembang dan hanya menghirup secawan teh dan sebatang rokok adalah melakukan maksiat yang tidak disedari. Masakan kita boleh berehat sedangkan keadaan umat begitu mendesak! Hampir sahaja sampai ajal mereka ditimpa malang bertimpa-timpa.
Apabila kita bertanya apa yang mereka lakukan dan mereka menjawab; “Menghabiskan masa….” atau “Saja-saja rileks berehat“. Sebenarnya waktu adalah kehidupan. Mereka yang menyiakan waktu sebenarnya sedang membunuh diri sendiri secara perlahan. Andainya masa itu emas maka ia boleh dibeli dengan wang. Akan tetapi masa adalah kehidupan dan kehidupan tidak boleh diperjualbelikan. Tiada siapa mahu menjual kehidupannya.
Semangat yang membara…Memindahkan Gunung!
Titipkan semangat Ibnul Jauzi ketika temannya berkata padanya; ” Marilah kita sejenak bersembang santai;”
“Kalau begitu, hentikanlah matahari untuk sementara waktu,’ jawab Ibnul Jauzi.
Juga bagaimana Ibnu ‘Aqil yang menulis buku “al-Funun” dengan jumlah 800 jilid dan merupakan buku yang paling besar sejak Nabi Adam dan mungkin sampai hari kiamat. Beliau berkata;” Meskipun usiaku sudah 80 tahun, namun aku masih memiliki semangat, kegigihan dan keinginan untuk memanfaatkan masaku seperti aku berusia 20 tahun.”
Oleh kerana peribadi ulama dan manusia sebegini, umat masih tetap bertahan ratusan tahun lamanya memimpin dunia dan menerangi gelapnya. Dan kita hanya mampu berkata,” Ini sesuatu yang luar biasa! Siapa yang sanggup melakukannya?!
Maka anda tidak harus melakukannya. Sekali-kali tidak. Tapi anda perlu menghabiskan masa anda sia-sia. Anda tidak harus duduk santai di kedai, café beberapa jam hanya untuk sekadar makan. Anda tidak harus meluang masa menonton telenovela dan drama. Anda tidak harus duduk bersembang perkara tidak berguna. Anda tidak harus menantikan bola yang disepak ke sana ke mari masuk ke dalam gol. Anda tidak harus bersolek di depan cermin seolah tiada hari esok. Anda tidak harus berpeleseran untuk window shopping di pasaraya dan mall. Anda tidak harus membicarakan artis itu memakai pakaian fesyen apa dan dengan siapa dia bercinta. Anda tidak harus buat begitu. Andai sahaja anda memahaminya, cukup untuk membuatkan umat ini berjaya.
Jika hal-hal itu kita lakukan kemudian kita bersedih dengan nasib umat, kita menghina saudara seIslam kita. Kemudian kita berseronok kembali. Maka insafilah diri kita!
Bangkitlah dari kekeliruan dahulu kepada kesempurnaan Islam. Pergunalah masa. Susunlah kerja dan tugasan. Letakkanlah mana yang utama atas yang lain. Semua manusia diberikan 24 jam akan tetapi kenapa ada yang berjaya dan ada yang tidak. Ada yang kaya dan ada yang tidak. Dan juga ada ke syurga dan ada ke neraka? Maka itu bergantung pada pemanfaatan masa kita. Manfaatkan masa muda kita sebelum menjadi tua. Sebelum tua menjadi lebih tua. Berapa ramai yang selalu menyesal tidak beribadah di waktu mudanya dan kemudian menangis kesal. Betapa ramai yang tidak memakai hijab di waktu mudanya dan kemudian meraung takut kesal kerana dosa yang dilakukan. Betapa ramai merasa rugi di waktu umurnya sedang dia tidak mampu untuk sujud dan rukuk sebanyak orang muda. Maka perhatikanlah ini wahai Ulul Albab!
Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang memanfaatkan masa dan kehidupan kami dan raihkanlah kemenangan umat Islam di atas usaha kami.
Hasbunallahu wa nikmal wakil
oleh: ameersyuhada
rujukan:Ghayyir Nafsaka (Amru Khaled)
No comments:
Post a Comment