Thursday, July 10, 2008

Pengorbanan Ibu

oleh : hamba Allah

Memang sukar utk org lain percaya, tp itulah yg berlaku. Ibu sy memang seorang pembohong! Sepanjang ingatan sy, sekurang-kurangnya 8 kali ibu membohongi sy. Sy perlu catatkan segala pembohongan itu utk menjadi renungan anda semua.

Cerita ini bermula ketika sy masih kecil. Sy lahir sebagai seorang anak lelaki dlm sebuah keluarga yg miskin. Makan minum serba kekurangan. Kami sering kelaparan. Ada kalanya selama beberapa hari kami terpaksa makan berlaukkan seekor ikan masin dikongsi 1 keluarga.
Sebagai anak yg masih kecil, sy sering saja merungut. Sy menangis mahukan nasi dan lauk yg banyak. Tapi mak cepat memujuk. Ketika makan, mak sering memberikan bahagian nasinya utk sy. Sambil memindahkan nasi ke mangkuk sy, mak berkata: "Makanlah nak, mak tak lapar."- PEMBOHONGAN IBU YANG PERTAMA.

Ketika sy mulai besar, mak yg gigih sering meluangkan waktu senggangnya utk pergi memancing di tali air berhampiran rumah. Mak berharap dari ikan hasil pancingan itu dapat memberikan sedikit makanan untuk pembesaran kami adik-beradik.
Pulang memancing, mak memasak gulai ikan yg segar dan mengundang selera. Sewaktu sy memakan gulai ikan itu, mak duduk di samping kami dan memakan sisa daging ikan yang menempel di tulang drpd bekas sisa ikan yg sy makan tadi.
Sy sedih melihat mak seperti itu. Hati sy tersentuh, lalu dengan menggunakan sudu, sy memberikan ikan itu kepada mak. Tetapi mak dengan cepat menolaknya. Mak berkata: "Makanlah nak, mak tak suka makan ikan." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEDUA.

Di usia awal remaja, sy masuk sekolah menengah. Mak pergi ke kedai dengan membawa sejumlah penyapu lidi dan kuih-muih utk menyara persekolahan sy, abang dan kakak.
Suatu dinihari, lebih kurang 1.30 pagi, sy terjaga dari tidur. Sy melihat mak sedang membuat kuih bertemankan sebuah pelita di hadapannya. Beberapa kali sy lihat kepala mak terhangguk kerana terlalu mengantuk. Sy berkata: "Mak, tidurlah, esok pagi mak kena pergi kebun pula." Mak tersenyum dan berkata: "Cepatlah tidur nak, mak belum mengantuk lagi." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETIGA.

Di hujung musim persekolahan, mak meminta cuti kerja supaya dapat menemani sy pergi ke sekolah untuk menduduki peperiksaan penting. Ketika hari sudah siang, terik panas matahari mulai menyinari, mak terus sabar menunggu sy di luar dewan. Mak sering kali saja tersenyum dan mulutnya terkumat-kamit berdoa kepada Ilahi agar sy lulus ujian peperiksaan ini dengan cemerlang.
Ketika lonceng berbunyi menandakan ujian sudah selesai, mak dengan segera menyambut sy dan menuangkan kopi yang sudah disiapkan dalam botol yang dibawanya. Kopi yang kental itu tidak dapat dibandingkan dengan kasih sayang mak yang jauh lebih kental.
Melihat tubuh mak yang dibasahi peluh, sy segera memberikan cawan sy itu untuk mak dan menyuruhnya minum. Tapi mak cepat-cepat menolaknya dan berkata: "Minumlah nak, mak tak haus." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEEMPAT.

Setelah pemergian ayah kerana sakit, iaitu selepas sy baru beberapa bulan dilahirkan, maklah yang mengambil tugas sebagai ayah kepada kami sekeluarga. Mak bekerja mengambil upah di kebun, membuat penyapu lidi dan berjual kuih-muih agar kami tidak kelaparan.
Tapi apalah sangat kudrat seorang ibu. Kehidupan keluarga kami semakin susah dan susah. Melihat keadaan keluarga yang semakin parah, seorang pakcik yang baik hati dan tinggal berjiran dengan kami, datang membantu mak. Anehnya, mak menolak bantuan itu.
Jiran-jiran sering menasihati mak supaya menikah lagi agar ada seorang lelaki yang akan menjaga mak dan mencarikan wang untuk kami sekeluarga. Tetapi mak yang memang keras hatinya tidak mengendahkan nasihat mereka. Mak berkata: "Saya tidak perlukan cinta, saya tidak perlukan lelaki." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELIMA.

Setelah kakak dan abang habis belajar dan mulai bekerja, mak sudah pun tua. Kakak dan abang menyuruh mak supaya berehat saja di rumah. Tidak payahlah lagi bersusah payah dan bersengkang mata untuk mencari duit. Tetapi mak tidak mahu. Mak rela pergi pasar setiap pagi menjual sedikit sayur untuk memenuhi kekperluan hidupnya.
Kakak dan abang yang bekerja jauh di kota besar sering mengirimkan wang untuk membantu memenuhi keperluan mak, pun begitu mak tetap berkeras tidak mahu menerima wang tersebut. Malahan mak mengirim balik wang itu, dan mak berkata: "Jangan susah-susah, mak ada duit." - PEMBOHONGAN IBU YANG KEENAM.

Setelah tamat pengajian di universiti, sy melanjutkan pelajaran ke peringkat sarjana di luar negara. Pengajian sy di sana dibiayai sepenuhnya oleh sebuah syarikat besar. Sarjana itu sy sudahi dengan cemerlang, kemudian sy pun bekerja dengan syarikat yang telah membiayai pengajian sy, juga di luar negara.
Dengan gaji yang agak lumayan, sy berhajat membawa mak untuk menikmati penghujung hidupnya di luar negara. Pada pandangan sy, mak sudah puas bersusah payah untuk kami. Hampir seluruh hidupnya habis dengan penderitaan, eloklah kalau hari-hari tuanya ini mak habiskan dengan keceriaan dan keindahan pula.
Tetapi ibu yang baik hati, menolak ajakan sy. Mak tidak mahu menyusahkan anaknya ini dengan berkata: "Tak payahlah, mak tak biasa tinggal di negara orang." - PEMBOHONGAN IBU YANG KETUJUH.

Beberapa tahun berlalu, mak semakin tua. Suatu malam sy menerima berita mak diserang penyakit kanser. Mak mesti dibedah secepat mungkin. Sy menjenguk ibunda tercinta.
Sy melihat mak terbaring lemah di katil hospital setelah menjalani pembedahan. Mak yang kelihatan sangat tua, menatap wajah sy dengan penuh kerinduan. Mak menghadiahkan sy sebuah senyuman biarpun agak kaku kerana terpakas menahan sakit yang menjalari setiap inci tubuhnya. Sy dapat melihat dengan jelas betapa penyakit itu telah memamah tubuh ibu sehingga mak menjadi terlalu lemah dan kurus.
Sy menatap wajah mak sambil berlinangan air mata. Sy cium tangan mak, kemudian sy kucup pula pipi dan dahinya. Di saat itu hati sy terlalu pedih, sakit sekali melihat mak dalam keadaan seperti ini. Tetapi mak tetap tersenyum dan berkata-kata: "Jangan menangis nak, mak tak sakit." - PEMBOHONGAN IBU YANG KELAPAN.

Setelah mengucapkan pembohongan yang kelapan itu, ibunda tercinta menutup matanya untuk kali terakhir kali.

Anda bertuah kerana masih mempunyai ibu dan ayah. Anda boleh memeluk dan menciumnya. Kalau ibu anda jauh dari mata, anda boleh menelefonnya sekarang, dan berkata: "MAK, SAYA SAYANGKAN MAK." Tapi tidak sy. Sehingga kini sy diburu rasa bersalah yang amat sangat kerana biarpun mengasihi ibu lebih dari segala-galanya, tapi tidak pernah sekalipun sy membisikkan kata-kata itu ke telinga ibu, sampailah saat mak menghembuskan nafasnya yang terakhir. Ibu, maafkan sy. SAYA SAYANGKAN MAK...


Renungkan...
Hayatilah dan Fikirlah....sebelum terlambat.

Sunday, July 6, 2008

Cukuplah Allah bagiku...jangan bersedih lagi...

Suatu hari, seorang arab Badwi datang bertemu dengan Rasulullah s.a.w katanya, "Wahai Rasulullah, adakah Tuhan itu dekat sehingga kami dapat bermunajat kepadaNya? Atau Tuhan itu jauh sehingga kami perlu menyeru kepadaNya?" Rasul terdiam hingga turunlah jawapan terus dari Allah swt berkenaan pertanyaan Badwi tadi…

Dan apabila hamba-hamba- Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran. (Surah al-Baqarah ayat 186)

Berpergang teguhlah dengan janji Allah ini, kerana tiada yang paling setia dengan janjinya melainkan Allah semata-mata. Allah memberikan baik dan buruk sesuatu perkara hanya atas tiga perkara:

1) Kerana Dia mahu mengingatkan kita kepadaNya.

2) Kerana Dia mahu mengampunkan dosa kita.

3) Kerana Dia mahu mengangkat martabat kita di sisiNya.

Tetapi, asal ketiga-tiga yang di atas itu adalah kerana Dia Maha Menyayangi kita sehinggakan bila kita terlupa atau sengaja lupakan Dia, tidak diazabnya kita terus serta merta. Bahkan Dia berikan sedikit cubaan, supaya kita ingat kembali padaNya. Supaya kita rasakan kembali kasihNya yang melimpah-limpah, supaya kita lembut hati untuk berkasih padaNya, dan supaya kita kembali ke pangkuanNya.

Hanya Dia sahaja tempat pergantungan kita. Selama mana kita bergelar hamba kepadaNya, selagi itulah kita bergantung seratus peratus kepadaNya. Dia menjanjikan kebahagiaan dengan segala ketenangan, ketenteraman, kekuatan, kebenaran, kemuliaan dan kesucian diri apabila manusia mendekatiNya. Dia Maha Menyayangi hamba-hambaNya, walau pun jelas keingkaran hambaNya. Dia tidak pernah memungkiri janji-janjiNya. Dia menawarkan kasihNya di mana sahaja kita perlukan. Dia menawarkan kasihNya bila saja kita dambakan. Dan Dia menawarkan kasihNya atas apa sebab sekali pun kita pohonkan.

Oleh itu, Kenapa perlu berputus harap padaNya. Sedangkan Dia tidak pernah memandang kita dengan pandangan kebencian? Kenapa perlu merintih pada ketentuanNya sekira Dia menawarkan kebahagiaan yang sangat besar di hujung perjalanan? Kenapa perlu ragu-ragu padaNya yang tidak pernah memungkiri janjiNya kepada kita? Tanda kasihNya sentiasa ada di dalam hati kita. Rujuklah kembali kepada ayat-ayat kasihNya yang diturunkan kepada kita, nescaya di sana ada janji setiaNya untuk kita…

Katakanlah: "Hai hamba-hamba- Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Surah az-Zumar ayat 53)

Ujian yang datang dariNya, terimalah dengan hati yang tenang. Berpautlah pada tali cintaNya dengan sekuat-kuat pautan, nescaya kita tidak akan terhempas dipukul badai dunia. Pandanglah sesuatu ujian itu dengan pandangan Allah. Letaklah Allah di hadapan kita dalam melalui sesuatu musibah, nescaya Allah meletakkan kita di hadapanNya, nescaya Allah memandang kita selamanya dengan pandangan kasihNya, nescaya Allah sejukkan hati dan jiwa kita dengan hidayahNya, dan diterangi jalan hidup kita dunia dan akhirat dengan Nur kekuatanNya.

Tidak ada gunanya kita mengadu dan bersedih hati, bila kita diuji Allah. Kerana orang-orang yang beriman hanya bersedih bila Allah tidak memandangnya lagi, selagi ada pandangan Allah pada kita, maka syukurilah dengan ujian itu. Tanda Dia amat mengambil berat akan hal kehidupan kita. Tidak bermakna hilang kasih manusia itu, hilang selamanya. Mungkin ada kasih yang lebih hebat menanti di hari muka, yang kita tidak pernah bayangkan di mata dan tidak pula pernah kita kecapinya di hati.

Sebaliknya, dekatilah Allah sedekat-dekatnya. Kasihilah Allah sedalam-dalamnya. BERBUALLAH DENGAN ALLAH selalu. Bermunajatlah kepadaNya selalu. Mengadulah masalah kita padaNya selalu. Mintalah kasihNya selalu. Nescaya Dia akan sentiasa dekat pada kita. Dia akan sentiasa kasih pada kita. Dia akan selalu berbual dengan kita. Dia akan selalu mendengar munajat kita. Dia akan selalu berkongsi masalah kita. Dan yang paling penting, Dia akan sentiasa meletakkan kita sebagai hambaNya yang mulia di sisiNya.

Apalah harga dunia jika ditimbangkan dengan setitik kasih sayang Allah. Hilang nikmat dunia bila datang setitis rahmat Allah. Lebur seluruh dunia, tenggelam dalam cinta Allah. Bila manusia sudah benar-benar teguh bersama Allah, perjalanannya sentiasa tenang dan damai, hatinya sentiasa terpaut pada Allah. Kasihilah Allah sepenuh hatimu, tumpahkanlah cintamu kepadaNya seikhlas mungkin, dekatilah Allah sedekat mungkin dan cintailah Allah sehalus mungkin. Nescaya hadir nanti insan yang mendekatimu kerana kelimpahan kasihmu pada Allah, kerana keikhlasan cintamu pada Allah, kerana dekatnya dirimu dengan Allah.. ketika itu dirimu akan menjadi perantara tumpahnya kasih Allah padanya...

Sesungguhnya orang-orang yang beriman dan beramal saleh, kelak Allah Yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam (hati) mereka rasa kasih sayang. (Surah Maryam ayat 19)

Adat berkawan sebelum berkahwin


“Cinta itu kan fitrah. Tak salah bercinta,” Kata si fulan 1.
“Islam tak larang lelaki dan wanita berhubung,” Si fulan 2 pula menyampuk.
Ya. Memang betul bahawa lelaki dan perempuan boleh berhubung. Dan patut saling mengenali jika ada hasrat untuk bernikah.
Malah Nabi Muhammad turut menyuruh kita supaya melihat terlebih dahulu bakal pasangan kita itu. Ada satu kes pada zaman Nabi Muhammad yang berlaku antara Habibah binti Sahl dengan Tsabit bin Qais.
Habibah tidak pernah melihat bakal suaminya sebelum berkahwin sampailah tiba malam pertama. Habibah sangat terkejut bila bertemu suaminya sehingga dia pergi berjumpa Nabi Muhammad.
“Wahai Rasulullah, kepala saya tidak dapat bertemu dengan kepala Tsabit buat selama-lamanya. Saya menyingkap ruang kamar, dan melihatnya bersiap-siap. Ternyata dia sangat hitam kulitnya, pendek tubuhnya, dan sangat buruk wajahnya....”
:: HR Al Bukhari dan An Nasa’i ::

Tetapi semua di atas ini bukanlah alasan untuk kita melanggar semua peraturan yang telah digariskan dalam perhubungan antara lelaki dan perempuan. Mahu berkenalan itu adalah perlu, tetapi perlu mematuhi batas pergaulan.


Degup-degup Ta’aruf
“Saya bersembunyi di bawah pohon untuk melihatnya,” Kata Jabir bin Abdullah.
Ungkapan Jabir bin Abdullah ini membawakan perasaan tegang, lucu dan menunjukkan degup di dada kian terasa untuk berkenalan. Memang Nabi Muhammad menyuruh para sahabat untuk mengenali terlebih dahulu pasangan yang ingin dinikahi.
Tetapi para sahabat tidaklah mengambil peluang tersebut – mengenali dengan cara berdua-duaan, berbual-bual berjam-jam, bergelak tawa dan sebagainya. Kerana mereka sedar ada batasan dalam hubungan antara lelaki dan perempuan. Dan mereka faham jika itu yang agama pinta, mesti ada sebabnya.
Apa yang perlu diwaspadai adalah ketika degup-degup itu dihasut oleh syaitan. Lalu menjadi serong. Tersimpang jauh dan menyesatkan. Sampaikan perkara yang salah kita katakan betul. Inilah yang ingin dibincangkan dalam entri kali ini.
Simpan Itu, Untuk Yang Halal Bagimu
“Telah tertulis atas anak Adam akan nasibnya dari sudut zina akan bertemu dalam hidupnya, tidak bisa tidak. Maka kedua mata, zinanya adalah memandang. Kedua telinga zinanya adalah mendengar. Lisan, zinanya adalah berkata. Tangan zinanya adalah menyentuh. Kaki, zinanya adalah berjalan. Dan zinanya hati adalah ingin dan angan-angan. Maka akan dibenarkan hal ini oleh kemaluan, atau didustakannya.”

:: HR Muslim, dari Abu Hurairah ::

Hadis ini meminta kita berhati-hati terhadap setiap yang kita lakukan. Setiap daripada anggota badan kita ada masanya yang memacu kita ke arah zina. Kadang kita sendiri tidak sedar. Tetapi bila ada yang memberi teguran mengingatkan, maka terimalah.
Jangan pula kita cuba mengatakan perkara yang kita buat itu betul.
Bagi yang sudah berpasangan, katakan kepada pasangan anda, “Kalau yang kamu ingin beri itu adalah pesona tatkala saya masih belum layak menerimanya, maka saya harap itu bukan untuk saya. Ya, indera yang boleh memacu kita ke arah zina itu, saya harap bukan untuk saya selagi saya belum berkahwin dengan kamu.”
Setiap indera kita iaitu mata, telinga, lisan dan sentuhan boleh memacu kita ke arah zina. Ini yang perlu kita jaga sebaik mungkin selagi belum berkahwin.


Bantu Aku Menjaga Pandanganku
Pernah saya lihat dompet seorang kawan saya ada gambar seorang perempuan. Nampak macam tidak salah. Ah! Apa salahnya sekadar melihat gambar, bukannya bertemu melihat depan-depan.
Ya, tidak salah kalau kita ingin melihat terlebih dahulu wajah dan bentuk fizikal bakal pasangan kita itu. Tetapi kalau sampai disimpan dalam dompet, laptop dan ditampal di loker untuk ditatap hari-hari itu, mungkin akan mendatangkan masalah.
Itu bukan lagi niat untuk berkenalan tetapi sudah menjadi penyakit kepada hati. Kalau lama-lama sampai bertahun-tahun mungkin menimbulkan rasa jemu. Ah, sedangkan kalau seseorang itu pakai baju yang sama berhari-hari pun, sudah tentu kita jemu memandangnya.
“Oit, kau dah takde baju lain nak pakai ke?”
Ini baru soal melihat gambar berhari-hari, belum lagi bagi yang berjumpa mahu berhari-hari jugalah. Bak kata orang yang bercinta ini, sehari tidak jumpa bagaikan hati sudah mahu dirobek keluar. Makan pun tak lalu.
Ha. Kalau makan tak lalu, berpuasalah. Hehe. Lagi saya suka kalau saya yang makan tak lalu. Boleh kuruskan badan.
Mahu dikatakan sepandai-pandai kita pun, lagi pandai si syaitan tersebut. Orang kata lebih lama hidup maka lebih banyak pengalaman. Cuba kira sudah berapa lama kita hidup dan sudah berapa lama syaitan ini wujud di muka bumi.
Betapa pandainya syaitan ini sampai bila kita melihat si dia, mata kita terasa terpikat sampai badan tiba-tiba jadi cergas. Biasalah kalau sudah tergoda, ibaratnya macam disuntik dadah. Kemahuan meluap-luap. Kemudian timbul pula penyakit hati.



Jihad terbesar umat Islam: Melawan nafsu
Bantu Aku Menahan Kebisingan Syahwat
Wahai perempuan, tahukah anda bahawa imaginasi kaum lelaki ini begitu tinggi? Sampaikan kami ini boleh mengimpikan dan membayangkan dengan detail apa-apa sahaja dengan hanya mendengar suara.
Jika suara anda itu lembut, ia akan membuat dentingan frekuensi yang sangat halus sampai menyengat-nyengat jiwa. Kadang-kadang berbisik-bisik sampai menimbulkan rasa ghairah yang tinggi.
Saya bukannya menyuruh anda berteriak-teriak apabila bercakap dengan kaum lelaki. Memang sudah fitrah suara perempuan itu lembut. Jadi, janganlah dilembutkan lagi. Sampai merengek-rengek bercakap dalam telefon.
Ah! Anda jangan ingat kalau cakap dalam telefon, kami tidak boleh membayangkan sesuatu. Bukankah saya sudah katakan tadi imaginasi kami ini sangat tinggi sampai anda tidak dapat membayangkannya. Hehe. Kalau tidak mana mungkin terlalu banyak iklan klub-klub telefon dalam majalah Mastika.
Apa yang perlu dibuat apabila ingin bertemu dengan lelaki, tegaskan suara. Biar frekuensi itu tidak dapat menjentik sedikit pun hati-hati kami.
Dan kepada kaum lelaki, tahanlah nafsu itu. Nanti niat asal yang hendak berkenalan itu jadi lain pula. Terpikat dengan suara, bukannya terpikat dengan agama.
Bantu Aku Bernafas
Jangan pula dilupakan hidung. Ini pun satu lagi deria yang sangat sensitif.
“Wanita mana yang memakai haruman kemudian keluar dan berharap agar orang ramai dapat menghidu bau haruman tersebut, maka dia adalah penzina.”

:: HR Abu Dawud dan At Tirmizi ::

Sekali lagi ingin saya ingatkan, imaginasi lelaki ini sangat tinggi. Sekali dia membau haruman daripada badan, berkemungkinan dia membayangkan sesuatu yang tidak patut.

Kulitku Sangat Peka
Seorang naqib saya sewaktu di sekolah tersebut pernah mengibaratkan akan persentuhan kulit antara lelaki dan wanita bukan mahram itu seperti persentuhan kulit kita dengan kulit babi.
Jangan salahkannya, kalau tersentuh kulit babi masih boleh disucikan. Tetapi dengar pula hadis yang ini:
“Sungguh, jika kepala salah seorang daripada anda dicucuh dengan jarum besi yang menyala, itu masih lebih baik daripada anda menyentuh perempuan yang tiada halal bagimu.”

:: HR At Thabrani dan Al Bahaiqi ::

Masih lagi saya ingin ingatkan, kita ini kaum lelaki sangat kuat berimaginasi. Kalau dengan mendengar dan bau sahaja pun sudah menerbitkan khayalan-khayalan yang tidak patut, apatah lagi kalau dapat menyentuh si dia.
Ah! Anda mahu berkenalan atau mahu apa ini?
Kawal Kata-kata
Orang kata bila mahu berkenalan perlulah memaniskan kata-kata. Ya, betul. Tetapi memaniskan kata-kata bukan bermaksud sengaja membunga-bungakan kata-kata.
Cukuplah mengeluarkan ayat-ayat yang sopan. Jangan sampai keterlaluan sampai bahasa berbunga-bunga. Kalau mahu menulis sajak, bolehlah.
“Saudari, minggu depan rasanya kita perlu buat meeting untuk program ini.”
“Saudari, rasanya sudah tidak tertahan hati ini untuk berjumpa. Moga silaturrahim yang dibina akan memantapkan gerakan program ini.”
Bezakan dua ayat di atas. Kalau rasa pernah dengan sengaja mengeluarkan kata-kata dengan harapan dapat menyentuh hati si dia, maka cubalah berhenti sekarang. Bukankah anda kata sekadar mahu berkenalan. Apabila sudah berkahwin nanti, buatlah ayat yang macam mana sekalipun.
Jaga Jarak
“Janganlah seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang perempuan yang bukan mahramnya. Dan janganlah seorang wanita keluar dengan seorang lelaki kecuali ditemani mahramnya.” :: HR Al Bukhari dan Muslim ::

Kalau tidak bertemu atau berjumpa, orang kata tidak sah sebagai syarat untuk berkenalan. Tetapi ada syaratnya juga.
Kalau mahu berkenalan dengan si dia, jadilah lelaki yang berani terus berjumpa dengan ibu dan bapanya. Bukannya sekadar berjumpa di taman, di cafe atau di library.
Dan kalau ada hal yang betul-betul penting, seperti meeting atau mahu buat kumpulan belajar bersama, pastikan perkara itu betul-betul perlu. Atau betul-betul terdesak. Jangan jadikan alasan dengan mengatakan sekadar mahu belajar. Eh, rakan sekuliah yang sama jantina bukankah ramai?

Berkenalan Sebelum Berkahwin

Saya cuba meringkaskan apa yang saya tulis di atas. Menurut Syeikh Muhammad al-Munajjid, beliau menggariskan beberapa perkara dalam pergaulan lelaki dan perempuan:
1. Elakkan dari berkata-kata perkara yang di luar topik.
2. Tidak membuat lawak atau melembutkan suara.
3. Tidak bertanya mengenai perkara peribadi (personal).
4. Berhenti bercakap jika berlaku keinginan didalam hati.
Dan adat Melayu janganlah diabaikan. Bukankah adat Melayu itu juga banyak terselit unsur Islam. Ingat lagi adat merisik?
Orang waktu dulu bila menyukai seseorang, dia akan meminta orang lain merisikkan untuknya. Bukannya dia yang dengan muka tidak tahu malu merisik sendiri.
Janganlah kata adat merisik kita ini kolot. Tidak kena dengan peredaran zaman. Dan kemudian mengguna pakai adat Barat yang kononnya dikatakan moden. Tetapi adat mereka itulah yang merosakkan institusi kekeluargaan di sana.
Masihkah anda mahu kata adat kita ini kolot?

Sumber: Nikmatnya Pacaran Selepas Pernikahan.

Tuesday, July 1, 2008

Coretan buat Sahabat...

Buat saudaraku semua..

Saudaraku,
Dalam kafilah dakwah ini, kita mutlak memerlukan persahabatan. Persahabatan mungkin lebih tepatnya ukhuwah - adalah nikmat yang sangat mahal bagi kita. Jiwa boleh terdera, darah, air mata dan peluh boleh mengucur. Tapi semuanya tidak mampu memupus nikmat persahabatan, persaudaraan, ukhuwah di jalan-Nya. Kesulitan di sepanjang jalan ini, tidak lebih berupa anugerah dan kurnia Allah yang sangat besar dan hanya dirasakan oleh kaum beriman yang saling memelihara persaudaraan atas nama Allah. Tapi bagaimana kita mampu memiliki nikmat persahabatan itu?


Saudaraku, ingatlah,
Di jalan ini kita harus mampu memelihara sikap lemah lembut dan berusaha menjaga hubungan baik dengan teman seperjalanan. Dan itu bukan perkara mudah kerana kejayaan kita dalam menjaga persahabatan di jalan ini, boleh menjadi ukuran kadar kejayaan kita memiliki hubungan sosial yang baik dengan masyarakat. Dengarkanlah ungkapan seorang ulama dakwah Dr. Adil Abdullah Al-Laili, “Siapa sahaja yang berjaya melakukan perjalanan dengan para juru dakwah dalam kafilah ini, bererti dia boleh hidup dengan manusia yang lain dan dia juga berjaya menasihati dan mengarahkan mereka. Sebab ada orang yang baik bagi dirinya tapi dia kurang baik apabila dia bergabung bersama orang lain dalam kafilah ini”.(Musafir fi Qithari Da’wah)

Persis ketika melakukan perjalanan yang sebenarnya, seorang musafir harus menolong saudaranya dalam perjalanan. Persahabatan yang tulus di jalan ini menjadi perhiasan di kala bahagia dan pelindung di kala sulit. Maka, tanpa ikatan persahabatan yang kuat, seseorang akan sukar untuk bertahan ketika harus menghadapi kesempitan. Ini menjadi sebab bagi para da’i di zaman ini menjadikan ukhuwah sebagai salah satu syarat dalam bai’at (janji keanggotaan) mereka. Dalam Risalah Ta’lim disebutkan, “Hendaknya hati dan jiwa mereka (para anggota) terikat dengan ikatan akidah. Akidah ialah ikatan yang paling kuat dan paling mulia. Ukhuwah adalah saudara keimanan, sedangkan perpecahan adalah saudara kekufuran. Awal kekuatan adalah kekuatan kesatuan. Tidak ada kesatuan tanpa cinta. Paling minimum cinta yang tumbuh di antara mereka adalah bersihnya hati daripada perasaan yang tidak baik sesama mereka. Dan cinta yang paling tinggi adalah itsar atau mendahulukan kepentingan saudaranya”.

Saudaraku di jalan dakwah,

Persahabtatan yang dikehendaki juga tidak boleh berlebihan. Ertinya, cinta tidak boleh mengabaikan asas keadilan dan objektif hingga menyeberang pada sikap fanatik buta dan taasub. Syariat Islam melarang kita terlalu keras dala mencaci, juga melarang berlebihan dalam memuji. Syariat melarang sikap berlebihan dalam segala hal. Berlebihan dalam cinta akan mendorong orang meremahkan hak orang lain. Dan setiap sesuatu yang melampaui batas ia akan memberi akibat sebaliknya.

Neraca untuk mencintai dengan adil adalah dengan melakukan tawashi atau saling mewasiat dalam kebenaran. Seseorang harus menasihati saudaranya, mengingatkannya untuk kembali pada kebaikan dan memerintahkannya untuk menghindari larangan Allah. “Seorang mukmin dengan mukmin yang lain itu seperti dua tangan yang saling membersihkan dan menyucikan,” begitu kata seorang ulama.

Dalam kerangka itu, seorang da’i sebagaimana seorang musafir perlu berbincang dan bertukar fikiran dengan teman seperjalanannya. Dia harus mampu menyampaikan kritikan atau menolak pendapat. Keduannya adalah untuk meluruskan penyimpangan. Memang-+, ada sebahagian orang yang memandang penolakan atau kritikan adalah sebahagian daripada kebencian. Dan bahawa dialog itu dapat menimbulkan perselisihan. Tapi, ini cara berfikir yang keliru.
Seorang manusia akan tetap berbeza pendapat kerana mereka memang berbeza dalam hal pemahaman dan akal. Mereka berbeza pengetahuan dan pengalaman, perasaan dan pandangan. Oleh itu, pasti ada perbezaan dan perselisihan. Justeru itu, yang diperlukan adalah bagaimana seseorang memandang yang dianggapnya tidak benar untuk diberi masukan dengan baik. Berdiskusi dan berbantah pandangan tetap diperlukan untuk menjelaskan kebenaran dan menjelaskan jalan.
Dan apabila itu tujuannya, kritik, koreksi, berbantah pendapat, diskusi, penolakan, semuanya seharusnya tidak menimbulkan permusuhan atau rasa benci. Yang seharusnya muncul adalah suasana kasih sayang dan cinta yang semakin kuat. Para sahabat Rasulullah SAW juga berdebat dalam menyelesaikan sesuatu masalah melalui musyawarah dan saling menasihati. Tapi mereka tetap memelihara kedekatan, kebersihan niat dan persaudaraan dalam agama. (Fatawa Ibn Taimiyyah, 24/173). Dari sinilah para ulama terdahulu pun biasa saling tidak sepakat dalam sesuatu masalah.

Selain itu saudaraku,

Diskusi di antara para da’i itu penting kerana akan dapat meluaskan pemikiran, mempertjamkan pandangan, meluruskan kesalahan, memperbaiki kesalahan dan saling tolong-menolong dalam kebaikan. Ilmu secara teori tidak akan mencapai posisi sempurna selama tidak ditimbang dengan akal.

Imam Syafi’i pernah ditanya apakah kemampuan akal itu merupakan potensi yang dibawa sejak lahir? Jawapannya, “tidak, tapi akal itu adalah hasil dari pergaulan dengan banyak orang dan berdiskusi dengan mereka”. Berkata Ibnu Abbas ra., “Mengunyah garam dalam sebuah jama’ah masih lebih baik daripada memakan puding dalam perpecahan”.

Saudaraku,

Ada persiapan yang harus kita miliki agar kita boleh memiliki kesediaan untuk melontarkan pendapat dan menerima kritikan dengan baik. Yang paling utama adalah kesediaan meringankan beban saudara kita. Kenapa? Sebab bagaimana orang mahu mendengar dan merespon dengan baik bila dia masih memiliki beban yang masih digayuti. Oleh itu, untuk menjalin persahabatn yang tulus, seseorang harus memiliki keyakinan dahulu akan kasih sayang sahabatnya, awal haknya adalah meyakini kasih sayangnya, kemudian menjalin persahabatan dengannya dengan memberi keluasan padanya selain yang haram. Lalu menasihatinya baik secara tersembunyi atau terang-terangan, lalu meringankan bebannya, dan menolongnya daripada apa yang menimpa dirinya. Sesungguhnya menemaninya secara zahir adalah nifaq, dan meninggalkannya dalam kesulitan dan kesusahan adalah penghinaan. (Adabu dunya wa din, Mawardi, 177)

Demikianlah kedudukan nasihat daripada orang yang menasihati dan menerima jawapan, menerima kritikan. Apabila hati bersih maka ia akan semakin sedia menerima nasihat dan mendengarkan nasihat. Tapi apabila hati ternoda, dan hati sibuk dengan banyak masalah, seperti kesibukan, rasa sakit, kepenatan, atau kesibukan dengan urusan rumah, itu semua akan menghalangi orang untuk mendengar. Apatah lagi membantu meringankan beban saudaranya.

http://halaqah.net/v10/index.php?topic=2297.0