Wanita, Ibu Solehah Membahagiakan Suami Dan Anak-Anak
Oleh: ABU HATIM
DR. MOHD. Iqbal, pujangga Islam yang terkenal, telah menulis sajak indah yang penuh keimanan dan pesanan hikmat buat para ibu yang baik sekali untuk dikemukakan dan difahami dalam menyambut Hari Ibu pada abad ke-21 ini.
Kelunak lembutanmu yang bersih
Merupakan rahmat bagi kami.
Kamu,
Merupakan kekuatan
Dan benteng agama.
Wahai,
Orang yang menghentikan
Penyusuan,
Anak dalam kalangan kami
Berdasarkan tauhid,
Kasih sayangmu memberi nilai
Kemampuan kami, memberi warna
Amal dan fikiran kami.
Wahai,
pemangku amanah
Berdasarkan syair nyata,
Di dalam nafasmu
Terletak kehidupan agama
Berhati-hatilah melalui zaman,
Bimbing eratlah anak-anakmu.
Sajak Iqbal ini yang dikhususkannya untuk para wanita, ibu yang menjadi kekuatan benteng agama, dapat membina agama masa depan anak-anak dengan baik, kerana Islam telah menempatkan wanita demikian tinggi dan agungnya. Mereka mempunyai nilai iman dan amal yang sama dengan lelaki dan diberi fungsi dan tugas yang sesuai dengan fitrah alamiah masing-masing, sehingga harus berperanan ke arah membawa kepada kebahagiaan bersama.
Barang siapa yang membuat amal soleh, lelaki dan wanita, dalam keadaan beriman, maka sungguh akan Kami (Allah) berikan kehidupan yang baik dan akan Kami beri penghargaan kepada mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka perbuat.
(an-Nahl 97).
Ayat ini diberi keterangan oleh para ahli tafsir bahawa inilah dalil yang tegas, bahawa iman dan amal soleh, lelaki dan wanita, sama nilainya di sisi Allah, asal dilakukan dengan penuh ikhlas.
Namun demikian tidak sedikit tentangan dan kecaman terhadap Islam seperti dalam bentuk tuduhan mengatakan Islam merendahkan darjat wanita, wanita harus berdiri di belakang lelaki waktu solat, wanita tidak boleh jadi imam dalam solat berjemaah, talak di tangan lelaki, poligami, anak perempuan diwariskan harta ditentukan kurang bahagiannya dari anak lelaki, hijab (tutup kepala) dan lain-lainnya.
Mulanya tentangan dan kecaman itu datangnya dari luar, terutama setelah munculnya gerakan emansipasi (wanita mendapat hak yang sama dengan lelaki) dan feminisme di Barat beberapa abad yang lalu. Wanita menuntut persamaan hak dengan lelaki dan bebas dalam tingkah lakunya sehingga timbullah perjuangan sengit di Barat, terutamanya di Amerika, England, Perancis, Jerman, Belanda, dan lain-lainnya.
Orang Islam yang tidak mendalami agamanya atau sangat dipengaruhi oleh gerakan Barat, ikut menutup matanya terhadap ketinggian ajaran Islam dalam menghormati wanita, sedang kalau mereka berfikir dengan tenang dan matang sudah tentu mereka akan bersyukur kepada Allah atas nikmat-Nya yang memberikan petunjuk-petunjuk (hidayah) untuk kehormatan dan kebahagiaan wanita.
Ada sesetengah wanita hari ini yang menghancurkan kehidupan rumah tangga melalui jalan meletakkan persamaan wanita dengan lelaki, sedang lelaki itu pemimpin rumah tangga yang harus dipatuhi. Wanita harus melupakan semua fikiran sekitar persamaan itu. Hendaklah para wanita ingat bahawa lelaki berasa bahagia mendengar kata-kata berbentuk kekaguman dan sanjungan padanya, sebagaimana wanita rasa bahagia mendengar kata-kata kasih sayang dan cinta daripada pihak suami.
Wanita harus kembali ke rumah tangga membina kehidupan bahagia dan mengasuh anak-anak dengan penuh belaian kasih sayang. Seharusnya, para wanita dapat memperlihatkan kekagumannya terhadap suami, hadapilah dia dengan segala kekurangan dan cacat cela yang ada padanya. Puaskanlah diri engkau (untuk diyakinkan) bahawa suami engkau adalah yang paling utama di dunia ini. Sediakanlah makan minum yang disukainya dan menyertai hobinya dengan penuh perhatian dan serius. Bila suami pulang ke rumah sedaya upayalah untuk tidak menghadapi kerja lain (selain menyambut dia) walau menjawab telefon dari luar sekalipun.
Dalam suasana Hari Ibu yang tentulah semua ibu ingin kebahagiaan rumah tangga, maka gerakan emansipasi wanita dan feminisme di Barat itu harus ditelaah baik-baik dan mendalam. Himbauan Iqbal terhadap wanita mempunyai nilai yang tinggi. Dalam memberikan ulasan tentang firman Allah surah an-Nisa’ ayat 34 yang bermaksud: (Kaum lelaki itu merupakan pembimbing kaum wanita kerana Allah telah melebihkan satu sama lain dan mereka telah menafkahkan sebahagian harta mereka).
Muhammad Abduh, ahli tafsir yang terkenal, mengulas bahawa maksud ayat itu adalah ibarat dari membimbing dan mengawasi semata-mata, bukan membuat wanita tidak mempunyai inisiatif, dalam kerja dan pendidikan. Malah Maryam Jamilah tokoh wanita Islam Amerika melalui ayat di atas mengemukakan istilah keadilan antara lelaki dan wanita. Ia bermaksud bukan harus adanya persamaan kedua-duanya seperti yang difahami Barat selama ini.Ibu sebagai unsur kekuatan agama dan penentu masa depan anak-anaknya seperti yang dikatakan Iqbal dapat dihayati dengan sungguh-sungguh, tetapi zaman dan situasi di luar yang sangat mencabar janganlah sampai membuat ibu terpedaya dan terpesona. Makin hari tambah sabar dan dewasa juga dunia untuk menyedari betapa tingginya Islam memberi penghormatan pada wanita, ibu yang ingin menjadi solehah, membahagiakan suami dan anak-anak untuk kebahagiaan bersama.
No comments:
Post a Comment